Bekas mufti P Pinang, presiden Kesatuan Ulama Sedunia tokoh Maal Hijrah

Bekas mufti P Pinang, presiden Kesatuan Ulama Sedunia tokoh Maal Hijrah

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah kepada dua tokoh itu di PICC hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas mufti Pulau Pinang Hassan Ahmad (kiri) pada sambutan peringkat kebangsaan di PICC hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Mufti Pulau Pinang Hassan Ahmad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan manakala Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1446H/ 2024M.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada dua tokoh itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M, bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ hari ini.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff turut hadir pada majlis tersebut.

Pengiktirafan peringkat kebangsaaan kepada Hassan, 82, adalah yang kedua buat anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang itu, selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1433H/2012M.

Hassan yang menjadi Mufti Pulau Pinang selama 17 tahun bermula 1997 disifatkan bertugas dengan cemerlang dalam menjaga hal ehwal agama negeri itu selain turut dilantik sebagai penasihat syariah kepada beberapa institusi kewangan, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Lulusan Ijazah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir, Hassan juga memberikan sumbangan besar kepada bidang pendidikan, antaranya sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Darul Hadis di Pulau Pinang serta pensyarah Fakulti Syariah di Akademi Pengajian Islam dan dekan Fakulti Syariah dan ahli senat , Universiti Malaya.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang 1436H/2014M itu juga banyak menyumbang dalam bidang penulisan, antaranya menghasilkan buku bertajuk Bai’al-Murabahah, Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad dan Kesesuaian Islam Untuk Semua Keadaan.

Sementara itu Ali Muhyiddin, 75, atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi merupakan tokoh terkemuka dalam bidang ekonomi dan perbankan Islam, maqasid syariah dan pemikiran Islam. Keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam.

Berasal dari Qaradagh, Iraq, beliau banyak menerima pengiktirafan pada peringkat antarabangsa seperti dari Rusia, Turki, Kuwait, Sudan dan Jordan, selain turut dihormati kerana kecemerlangan dalam pelbagai cabang pendidikan Islam.

Ketokohannya terbukti bukan sahaja sebagai pakar perundangan malah beliau menghasilkan lebih 100 kertas penyelidikan selain 59 buah buku meliputi pelbagai bidang.

Selain itu Sheikh Ali Al-Qaradaghi juga menjawat pelbagai jawatan penting, antaranya selaku professor asas perundangan Islam di Universiti Qatar, naib presiden European Council for Fatwa and Research, selain ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Pusat Islam Universiti Oxford.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.