SPR buka permohonan undi pos PRU15

SPR buka permohonan undi pos PRU15

Setiausaha SPR berkata tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh PRU15.

Petugas pilihan raya, anggota polis, tentera dan petugas media perlu memohon secara manual di pejabat SPR. (Gambar Bersih)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah membuka permohonan undi pos di dalam dan luar negara bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha SPR, Indera Ikmalrudin Ishak berkata, tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya.

“SPR juga ingin memaklumkan satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting PRU15 dengan turut mengambil kira pelaksanaan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya di Sabah akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, permohonan undi pos bagi petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media perlu dibuat secara manual dengan memuat turun Borang 1A di https://www.spr.gov.my dan menghantarnya ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya di kawasan masing-masing.

Warganegara Malaysia yang berada di luar negara pula boleh memohon secara dalam talian di https://myspr.spr.gov.my/login.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada PRU15 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

SPR akan menetapkan tarikh untuk penamaan calon dan hari mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.