
“Umno menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15,” kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di ibu pejabat parti itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada PRU15 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ahmad berkata, pembubaran Parlimen itu berikutan parti dalam kerajaan campuran tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mentadbir negara.
“Malah mengisytiharkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada Umno yang menerajui kerajaan.”
Bulan lalu, Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melabelkan BN sebagai musuh utamanya pada PRU15 dan berkata, perkara itu turut dipersetujui parti komponen PN, termasuk PAS.
Tetapi, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai “musuh utama”.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan persiapan jentera parti dan bersetuju tema utama manifesto PRU15 ialah kestabilan dan kemakmuran.
“Tema seumpama ini telah digunakan sewaktu PRN Melaka dan Johor. Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi BN.”
Katanya, tarikh baharu akan ditetapkan untuk Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Nov ini.