
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara itu ketika berucap melancarkan Gelombang Biru Barisan Nasional Zon 3 di Kimanis, Sabah.
“Ini tanah Kimanis, kalau tuan puan setuju saya akan letakkan semula Datuk Moh (Mohamad) sebagai calon BN di Kimanis,” katanya sambil disahut sorakan peserta.
Pada 18 Jan 2020, Mohamad, 50, menang pada pilihan raya kecil Parlimen Kimanis menewaskan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,209 undi.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis 2021 mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU14.
Dalam pada itu, Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Anifah yang juga presiden Parti Cinta Sabah kerana tidak bertanding di kawasan berkenaan dan menyatakan sokongan kepada calon BN pada PRU15.
Tambahnya, sekiranya BN menang di peringkat pusat, beliau akan memastikan Anifah diberi “ganjaran” di peringkat pusat.
“Ada seorang lagi tokoh dari Kimanis walaupun beliau (Anifah) telah bertemu saya dan menyatakan sokongan kepada Datuk Moh dan beliau tidak akan bertanding tetapi saya akan beritahu BN ada tempat sesuai kepada tokoh itu di peringkat nasional.
“Ini rundingan janganlah ada orang lain untung kita rugi .. Datuk Moh bila dah menang jangan lupa bagi tahu BN sokong orang itu (Anifah) untuk dapat jawatan di peringkat nasional.
“Menanglah BN menanglah GRS (Gabungan Rakyat Sabah), tak susah untuk selesaikan masalah politik. Nak bergaduh buat apa?,” katanya.