Idris Jusoh umum tidak bertanding PRU15

Idris Jusoh umum tidak bertanding PRU15

Bagi laluan kepada muka baharu seiring dengan hasrat Umno untuk meremajakan parti.

Bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh mengumumkan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh mengumumkan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Pemimpin veteran Umno itu berkata, dia mengambil keputusan itu untuk memberi laluan kepada calon lebih muda seiring dengan hasrat Umno untuk meremajakan parti.

“Dengan barisan kepimpinan yang lebih muda, saya yakin masa depan Umno akan jadi lebih bertenaga dan diminati pengundi.

“Sebenarnya, saya telah buat keputusan untuk tidak bertanding sejak 2013 lagi bagi memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Idris berkata, beliau sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur dari arena politik kepada pimpinan tertinggi Umno namun terpaksa akur dengan kehendak parti itu untuk beliau terus bertanding.

Katanya, beliau pada 2013 telah melepaskan jawatan ketua Umno bahagian sebagai salah satu perancangannya untuk berundur.

“Ketika itu, saya menyatakan hasrat saya kepada presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung Umno, namun, atas kehendak parti, saya akur dan kekal teruskan khidmat dengan bertanding dalam PRU demi parti dan negara.

“Meskipun begitu, pada tahun yang sama saya telah melepaskan jawatan Ketua Umno bahagian Besut kepada pimpanan baharu sebagai salah satu perancangan saya untuk ‘berundur secara beransur-ansur’ dalam arena ini,” katanya.

Beliau berkata, pengalamannya bertanding dalam PRU bermula 1995 dan menang sebagai Ahli Parlimen Besut ketika berusia 40 tahun

Katanya, penggal seterusnya iaitu dalam PRU 1999, beliau tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun kembali diberi mandat sebagai ADUN Jerteh untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada 2004 dan 2008.

“Dua penggal berikutnya pula iaitu 2013 dan 2018, saya kembali bertanding di kerusi Parlimen seterusnya menang sebagai Ahli Parlimen.

“Sekarang saya telah meniti usia 67 tahun dan masa untuk saya memberi laluan telah tiba.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan rakyat yang telah menyokong saya sebelum ini, juga terima kasih kepada parti yang tanpa jemu telah memberi kepercayaan kepada saya hingga kini.

“Saya doakan Umno dan BN akan terus berjaya, saya juga akan terus bekerja kuat untuk memastikan BN terus menempa kemenangan dengan cemerlang dalam PRU15,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.