Helikopter terhempas, 6 penumpang selamat

Helikopter terhempas, 6 penumpang selamat

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan memaklumkan tiga penumpang parah dan tiga lagi cedera ringan dalam kejadian itu.

Pesawat milik swasta itu dipercayai dinaiki seorang doktor dan dan empat pegawai perubatan dari Lojing, Cameron Highlands menuju ke Ipoh. (Gambar Bomba)
IPOH:
Lima anggota pasukan perubatan dan seorang juruterbang selamat selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Brinchang, Cameron Highlands tengah hari tadi.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

“Itu yang kami terima setakat ini. Semuanya selamat,” katanya ringkas.

Insiden yang berlaku pada 1.15 tengah hari ketika pesawat milik swasta itu dipercayai dinaiki seorang doktor dan dan empat pegawai perubatan dari Lojing, Cameron Highlands menuju ke Ipoh.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan memaklumkan tiga penumpang cedera parah dan tiga lagi cedera ringan.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd terhempas berhampiran Lojing, Cameron Highlands.

“CAAM mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Kecemasan (EOC) CAAM dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautial (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang diaktifkan segera pada jam 1.11 tengah hari.

Menurutnya, kemalangan itu akan disiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.