
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, berkata ia masalah rumah tangga dan exco terbabit sudah menghubunginya serta memohon maaf.
“Terkini, saya dimaklumkan kedua-dua pihak tarik balik laporan masing-masing. Jadi setakat ini, itu sahaja yang saya boleh nyatakan.
“Kalau ada apa-apa perkembangan kita berharap YB (exco) sendiri akan sentiasa beri maklum balas kepada kami (kerajaan negeri) atau parti,” katanya menurut Harian Metro ketika menghadiri Majlis Tahlil dan Buka Puasa anjuran Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling.
Ditanya sama ada exco itu perlu mengambil cuti bertugas, Chow berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada polis untuk menyiasat terlebih dahulu.
“Saya rasa ini, polis pun sudah dapat kenyataan dan sebagainya, peringkat ini kita tunggu mereka fikirkan apakah tindakan seterusnya yang terbaik untuk keluarga mereka.
“Kalau kedua-dua suami isteri ada apa rancangan dan tindakan seterusnya kita menghormati proses itulah.”
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial berkaitan seorang exco ditahan polis kerana dipercayai memukul isterinya di Pantai Jerejak Ahad lalu.
Exco 34 tahun itu ditahan polis petang semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan.