Pengerusi Amanah Kedah dipecat

Pengerusi Amanah Kedah dipecat

Phalrolrazi Zawawi didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Phahrolrazi Zawawi dipecat Amanah didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Zawawi dipecat daripada parti berkuatkuasa serta-merta, kata Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli.

Pemecatan itu susulan Phahrolrazi didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

“Sehubungan itu, Ismail Salleh, timbalan pengerusi Amanah Kedah, akan menjalankan tugas-tugas pengerusi Amanah Kedah.

“Kedua-dua keputusan di atas berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam satu kenyataan menjelaskan, Phahrolrazi dipecat daripada parti kerana cuba menghasut pimpinan dan ahli Amanah Kedah agar memboikot pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tindakan itu disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak boleh diterima oleh parti.

“Tindakan beliau menghasut ahli dan pimpinan Amanah Kedah agar memboikot pilihan raya kali ini amat tidak wajar dan tidak boleh diterima oleh parti.

“Walaupun kita boleh berbeza pandangan dalam strategi parti dan agihan kerusi, tindakan menghasut ahli dan pemimpin agar memboikot pilihan raya amat tidak wajar dan tidak boleh diterima.

“Ianya bagaikan tindakan sabotaj dan menjejaskan kepentingan Amanah dan Pakatan Harapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.