
Dalam hantaran Facebook, Norshida berkata, Umno gagal mengotakan janji 30% calon PRU15 terdiri daripada sayap Wanita dan Puteri parti itu.
“Apakah pucuk pimpinan BN lupa calon wanita salah satu faktor kemenangan kepada BN? (dalam pilihan raya negeri Johor).
“Adakah pucuk pimpinan lupa janji tersebut ditagih kesemua wanita dan pengundi wanita di negara ini?” soalnya yang juga setiausaha politik Dr Adham Baba.
Katanya, BN tidak patut bersetuju dengan kuota 30% calon wanita, jika mereka tidak berhasrat melaksanakannya.
“Kami kecewa dengan keputusan hanya 11% yang dicalonkan dalam kalangan wanita dan tidak sepatutnya begitu.
“Jelas bahawa pucuk pimpinan lemah dan tidak mengiktiraf dan memberikan kepercayaan penuh kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam pimpinan arus perdana negara,” katanya.
Ogos lalu, Pengerusi Wanita BN, Noraini Ahmad menggesa kouta 30% kerusi untuk wanita dijadikan syarat bagi mana-mana parti politik yang bertanding dalam PRU.
Beliau juga menggesa BN menyokong kuota itu, terutama sejak gabungan itu membuktikannya dengan kemenangan besar pada PRN Johor Mac lalu, apabila sembilan daripada 14 calon wanita BN menang.
Pada 2 Okt lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, parti itu bersetuju meletakkan 30% calon wanita pada PRU15.