Buaya, ‘menteri tak guna’ dan ‘pancung berjemaah’ jadi tema ceramah PH

Buaya, ‘menteri tak guna’ dan ‘pancung berjemaah’ jadi tema ceramah PH

Calon Pakatan Harapan menghentam pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dalam kempen mereka malam tadi.

Kira-kira 150 hadirin mendengar kempen pelancaran Pakatan Harapan (PH) di Lucky Garden, Bangsar, malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Buaya, “menteri tak berguna” dan “pancung berjemaah” antara tema calon Pakatan Harapan (PH) dalam kempen serangan terhadap Barisan Nasional (BN), malam tadi.

Teresa Kok daripada DAP berkata, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hanya sambungan apa yang digambarkan sebagai “pemburuan buaya” yang sudah bermula pada pilihan raya umum, empat tahun lalu.

“Sekiranya PRU14 merupakan ‘operasi pemburuan buaya’, jadi PRU15 adalah ‘operasi pemburuan buaya bahagian dua'” katanya dalam ceramah di Lucky Garden, Bangsar.

Katanya, faktor utama membawa kepada kejayaan PH menang PRU14 disebabkan skandal 1MDB dan bagaimana “bekas perdana menteri, Najib Razak dan gengnya” menyalahgunakan kuasa dan dana kekayaan negara.

Kok yang bertanding mempertahankan Parlimen Seputeh pada PRU15, berkata Najib tidak akan ke penjara hari ini sekiranya rakyat tidak mengundi PH ke Putrajaya, pada 2018.

Dalam pada itu, Fahmi Fadzil daripada PKR yang mempertahankan Parlimen Lembah Pantai, berkata BN melaksanakan “sesi pancung berjemaah” apabila menggugurkan beberapa nama besar daripada senarai calon PRU15.

“Jadi sebenarnya yang berlaku beberapa hari lalu, adalah apa yang dipanggil ‘sesi pancung berjemaah’. Sebab kalau kita lihat senarai calon (BN), ‘poster boy’ ada (tapi) ‘fanboys’ (sekutu) semua kena pancung,” katanya.

Ketua penerangan PKR itu berkata, sekiranya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri sekali pun dalam kerajaan baharu, semua rakan sekutunya dalam kemnya sudah “dipancung”.

Justeru, Fahmi berkata, masih tiada kestabilan dalam kerajaan baharu kerana mempunyai “dua harimau di atas gunung”, merujuk kepada Ismail dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebab itulah PH lebih stabil kerana ‘poster boy’ dan pengerusinya adalah orang sama,” katanya merujuk kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Hannah Yeoh menekankan suasana kelam kabut dalam pimpinan BN dan Perikatan Nasional (PN) dengan menyatakan Muhyiddin Yassin melantik ramai “menteri tidak berguna” dalam Kabinet, dengan orang sama kembali dilantik dalam pentadbiran Ismail ketika menjadi perdana menteri.

Beliau memberi contoh Rina Harun daripada Bersatu, yang memegang jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, bawah pentadbiran Muhyiddin dan Ismail.

Yeoh yang bertanding di Parlimen Segambut, berkata Rina tidak melakukan apa-apa bagi membantu rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19, menutup hotline Talian Kasih yang diwujudkan bagi membantu mereka yang tertekan pada satu ketika.

Menyokong apa yang disebut Fahmi, Yeoh juga berkata, Ismail tidak berkemampuan mempertahankan menterinya sendiri, seperti mana yang berlaku kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, yang digugurkan sebagai calon BN.

“Jika beliau tidak mampu mempertahankan orangnya sendiri, anda rasa beliau mampu bercakap dan mempertahankan hak anda?” soalnya di hadapan lebih 150 hadirin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.