PRU15: Politik dinasti semakin ketara

PRU15: Politik dinasti semakin ketara

Sekurang-kurangnya tujuh keluarga didapati bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara pada pilihan raya umum kali ini.

Keluarga Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Karpal Singh sekali lagi terlibat dalam pilihan raya umum.
KUALA LUMPUR:
Bilangan calon yang mempunyai pertalian keluarga begitu signifikan dalam ‘DNA’ pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) apabila sekurang-kurangnya tujuh keluarga didapati bertanding merebut kerusi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Pakatan Harapan (PH) iaitu keluarga Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Karpal Singh sekali lagi meneruskan tradisi dengan meletakkan calon keturunan masing-masing untuk bertanding dalam gelanggang pilihan raya kali ini.

Seperti yang dijangka, tiga beranak iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim tampil untuk merebut kerusi Parlimen Tambun serta isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak) dan anak Nurul Izzah Anwar di Parlimen Permatang Pauh.

Kerusi Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR dan disifatkan kerusi tradisi keluarga Anwar selepas beliau dan isterinya yang merupakan Pengerusi Penasihat PKR memegang kerusi Parlimen itu sejak 1982, termasuk ketika bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Nurul Izzah, 42, yang juga naib presiden PKR akan mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru dengan Mohd Zaidi Mohd Said, 53, (BN-UMNO), Muhammad Fawwaz Mat Jan, 39, (PN-PAS) dan Mohd Nasir Othman, 64 (Pejuang-Putra).

Pengunduran bekas penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mengurangkan penyertaan keluarga Lim kerana dua ahli keluarga itu iaitu Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Bagan manakala adiknya Senator Lim Hui Ying akan bertanding merebut kerusi Parlimen Tanjong.

Selain itu, anak-anak kepada bekas pengerusi DAP mendiang Karpal Singh turut disahkan berentap atas tiket PH iaitu bekas penyandang Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan adiknya Gobind Singh Deo yang berpindah dari Parlimen Puchong ke Damansara.

Sementara itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bakal mempertahan kerusi Parlimen Langkawi manakala anaknya Mukhriz yang merupakan Presiden Pejuang akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun.

Di Sabah, parti Warisan mencalonkan Presidennya Mohd Shafie Apdal bagi mempertahankan Parlimen Semporna dan adiknya Yusof Apdal kembali mencuba nasib di kerusi Parlimen Lahad Datu selepas tewas di kawasan terbabit sebagai calon BN pada PRU14.

Sementara aktivis Orang Asal Sabah, Vernon Bahanda tampil sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kudat dan abangnya Wetron Bahanda yang merupakan timbalan presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat bertanding di Parlimen Kota Marudu.

Perlis pula menyaksikan bekas menteri wilayah persekutuan Shahidan Kassim bertanding menggunakan logo PAS bagi mempertahankan Parlimen Arau manakala adiknya, Ismail Kassim, bekas penyandang DUN Tambun Tulang kekal bertanding di DUN terbabit sebagai calon BN.

Shahidan yang merupakan bekas penyandang Parlimen Arau tidak dinamakan sebagai calon kawasan itu selepas BN mencalonkan Rozabil Abd Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.