
PETALING JAYA: Hujan lebat selama beberapa jam sejak 4 petang tadi menyebabkan beberapa lokasi di Shah Alam dilanda banjir kilat.
Antara kawasan terjejas termasuk Taman Sri Muda, Seksyen 17, Seksyen 24, Seksyen 32, Seksyen 36, Bukit Naga, Alam Impian dan Bukit Jelutong.
Warganet berkongsi gambar dan video di media sosial menunjukkan kawasan dilanda banjir. Ada warganet melaporkan rumah mereka turut dinaiki air.
Pengguna Twitter, @imyuwa_ menasihati penduduk berjaga-jaga dan mengumpul barangan berharga sekiranya situasi semakin buruk.
Seorang lagi pengguna @_Zchadd berkata, “Shah Alam lumpuh” akibat banjir.
Calon Parlimen Shah Alam daripada Pejuang, Rafique Rashid mengarahkan pasukannya membantu penduduk di Seksyen 17 dan 18.
“Ketika ini situasi di Seksyen 17 dan 24 masih terkawal, paras air tidak meningkat. Hujan masih lebat, semua diminta berhati-hati,” katanya.
Majlis Bandaraya Shah Alam dalam satu pemberitahuan di Facebook menasihati penduduk di Taman Sri Muda meletakkan kenderaan mereka di kawasan tinggi.
Katanya, tempat letak kereta di Pasar Moden Sri Muda turut dibuka untuk orang ramai meletakkan kenderaan.
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan beberapa kawasan dinaiki air dan pihaknya melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau, berkongsi di Facebook banjir yang melanda Bukit Kemuning dan Bukit Rimau.
Katanya, pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran menghidupkan empat pam air di pintu kunci air dan kolam tadahan.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran berkata, beberapa kawasan di Semenanjung berisiko dilanda banjir kilat.
Katanya, di Kuala Lumpur kawasan berisiko termasuk WTC, Jalan Loke Yew, Jalan Pudu, Jalan Sultan Ismail, Masjid Jamek dan Lebuh Raya Kesas.
Dalam pada itu, daerah seperti Jelebu, Rembau dan Seremban di Negeri Sembilan juga berisiko dilanda banjir.