
Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembayaran BKM fasa empat yang dijadualkan bulan depan, dipercepatkan ke minggu depan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi monsun timur laut, yang dijangka bermula pertengahan bulan ini, dengan setiap seorang daripada 5.2 juta penerima akan menerima bantuan tunai sehingga RM900.
Bersih berkata, pengumuman Ismail itu melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara dan boleh dianggap menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen.
Katanya, Konvensyen amalan kerajaan sementara menggariskan “pemisahan antara parti politik dan kerajaan”, selain menekankan kerajaan perlu mengambil langkah sepatutnya untuk menjamin “kempen pilihan raya yang bersih, bebas dan adil”.
Menurutnya, jika ada keperluan untuk mengumumkan peruntukan baharu atau mempercepatkan penyaluran peruntukan sedia ada, Ismail boleh berunding dengan pembangkang.
Kumpulan itu turut menggesa kerajaan sementara di peringkat persekutuan dan negeri tidak menyalahgunakan sumber kerajaan untuk kepentingan sendiri.
Berdasarkan bahagian soalan lazim di laman sesawang BKM, pembayaran fasa empat ditetapkan secara tentatif untuk Disember.
Fasa ketiga pembayaran BKM dibuat September lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion.