Misi lawan gergasi Pagoh: Pegawai Rafizi beri saya tempoh 48 jam…

Misi lawan gergasi Pagoh: Pegawai Rafizi beri saya tempoh 48 jam…

Iskandar Shah Abd Rahman, seorang ahli geofizik, memohon menjadi calon PKR untuk buktikan sama ada tawaran parti itu sahih atau temberang.

Iskandar Shah berkata membuka ruang kepada seluruh rakyat menjadi calon PKR memberi peluang kepada orang berbakat dan mengurangkan birokrasi.
TANGKAK:
Iskandar Shah Abd Rahman, seorang ahli geofizik di sebuah syarikat swasta, tidak sangka cubaannya untuk menguji kesahihan tawaran PKR kepada orang ramai untuk menjadi calon parti itu akan ‘memakan diri’.

Selepas menyerahkan permohonan secara dalam talian, pegawai kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menghubungi bapa kepada empat orang anak ini dengan tawaran menjadi calon…menentang gergasi Pagoh, Muhyiddin Yassin.

“Saya hanya diberi 48 jam untuk berikan jawapan sama ada ‘nak’ atau ‘tidak’. Sehari lepas dihubungi, saya setuju untuk bertanding,” kata Iskandar, 41, kepada FMT.

PKR pada 6 Okt lepas mengumumkan ia membuka peluang kepada seluruh rakyat untuk menjadi calonnya pada PRU15, untuk melebarkan calon berpotensi parti itu.

Iskandar menyertai PKR pada 2020 namun akui tidak aktif, meskipun pernah berkira-kira untuk bertanding di Pagoh sebagai calon bebas.

Ditanya apakah yang mendorong beliau untuk memohon menjadi calon PKR, Iskandar sebenarnya mahu buktikan sama ada tawaran parti itu, yang melaungkan slogan ‘Reformasi’, memang sahih atau temberang.

“Mulanya mohon sebab kawan-kawan cabar kalau saya nak buktikan sistem permohonan itu betul atau tidak…Kalau tidak dapat, kawan saya beritahu ‘kamu tahulah sistem ini betul atau tidak’.

“Saya dihubungi pegawai Rafizi untuk ditawarkan menjadi calon di Pagoh pada 19 Okt.”

Selain mencabar pengerusi Perikatan Nasional, Iskandar akan bersaing dengan calon Barisan Nasional, Razali Ibrahim.

Ditanya pandangan mengenai pemilihan calon luar biasa PKR itu, Iskandar berkata ia memberi peluang kepada orang berbakat dan mengurangkan birokrasi. “Tidak sangka dapat peluang bertanding atas tiket parti besar seperti Pakatan Harapan.”

Iskandar lahir di Kluang, Johor, membesar di Tangkak, dan mempunyai ramai ahli keluarga di Pagoh. Ibu kepada lepasan Universiti Sains Malaysia ini mempunyai fahaman politik berbeza dengannya.

“Ibu saya juga merestui saya untuk bertanding di Pagoh…Beliau juga turut ikut ketika penamaan calon.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.