
Menteri kesihatan itu dilihat sedar risiko berdepan ‘kekalahan’ sekiranya kedua-dua kumpulan penyokong itu tidak memberi undi kepadanya untuk menawan kubu kuat PH itu.
“Tapi undi jangan pecah (undi), jangan bagi kepada Perikatan Nasional (PN)…saya minta penyokong-penyokong PAS kali ini bagi (undi) kepada saya, kalau kita pecah ‘confirm’ (sah) kita tak akan menang. ‘Confirm’ kita tidak akan menang,” katanya pada ceramah di Kampung Sungai Melayu Sungai Buloh, malam tadi.
Sebagai mana rayuan terhadap penyokong PAS, beliau juga ‘memujuk’ penyokong PH bertindak sama atas alasan mereka berada dalam “dilema”.
“Orang Pakatan Harapan saya tahu anda berada dalam dilema sekarang ini, nak sokong (parti) PH atau saya nak bagi kepada KJ. Dia suka calon, tapi dia sayang parti dia.
“Penyokong PH kena hantar isyarat kepada pemimpin mereka perlu ada semak dan imbang di Sungai Buloh,” katanya.
Khairy juga berjanji akan menjaga “orang PAS dan orang PH” sekiranya mereka memilihnya mewakili Parlimen berkenaan.
Khairy berdepan saingan tujuh penjuru membabitkan R Ramanan dari PH, Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz (PRM) dan dua calon bebas, Sifu Linda dan Syed Razak Alsagoff.
Pada PRU14, R Sivarasa menang di Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 26,634 undi.