‘Saya dah tua,’ Halimah beritahu mungkin tak tanding PRU16

‘Saya dah tua,’ Halimah beritahu mungkin tak tanding PRU16

Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi Halimah Mohammed Sadique berkata sebagai ahli politik, beliau mesti berjiwa besar.

Halimah Mohammed Sadique digugurkan daripada senarai calon PRU15 di Parlimen Kota Tinggi sebaliknya digantikan oleh Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.
KLUANG:
Menteri Perpaduan, Halimah Mohammed Sadique memberi bayangan beliau mungkin tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

“Tak adalah aku dah tua. Kita mesti berjiwa besar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kaum Tiong Hwa di Kluang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan bertanding semula atau tidak pada PRU16.

Halimah digugurkan daripada senarai calon PRU15 di Parlimen Kota Tinggi sebaliknya digantikan oleh Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Selain Halimah, turut digugurkan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Annuar Musa, Shahidan Kassim (Arau) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Adham Baba yang terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Tenggara kepada Ketua Pemuda Umno Tenggara, Mandzri Nasib.

Penyandang lain yang tidak dicalon semula adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismail Abdul Mutalib (Maran), Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Hamzah (Jasin) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Dalam pada itu, Halimah ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak memecahkan perpaduan kaum yang sudah terjalin sejak sekian lama ketika berkempen untuk calon masing-masing.

Katanya, tindakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama harus dielakkan.

Tegasnya, jangan hanya mahu ingin memenangkan calon, sanggup mengabaikan semangat perpaduan yang sudah sinonim dengan kehidupan masyarakat di negara ini.

“Ini kerana, untuk menyatukan kaum bukan sesuatu yang mudah, oleh yang demikian, walaupun berbeza fahaman politik namun semangat toleransi perlu dipertahankan,” katanya.

Halimah juga kini sedang berkempen di Kluang bermula semalam untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) Kluang, Gan Ping Sieu sebagai pecutan terakhir sebelum hari mengundi pada 19 Nov nanti.

Beliau berkata, sebagai anak jati Kluang, tidak akan membiarkan Gan Ping Sieu dan pasukannya berkempen tanpa bantuannya apatah lagi cabaran dalam PRU15.

Tambahnya, peluang tiga hari berkempen selepas membantu calon-calon lain di seluruh negara akan digunakan sebaiknya untuk mendekati pengundi yang digerakkan dengan semangat perpaduan kaum.

“Strategi ini adalah langkah terakhir kami untuk memenangkan calon BN yang juga pernah menjawat jawatan timbalan menteri belia dan sukan pada tahun 2008 sebelum ini.

“Mungkin dengan gerakan perpaduan dari rombongan berbilang kaum dapat menarik perhatian untuk memberikan undi kepada BN nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.