Mangsa banjir di PPS 4 negeri menurun

Mangsa banjir di PPS 4 negeri menurun

Bagaimanapun bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor masih kekal biarpun cuaca cerah di beberapa daerah semalam.

Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Perak, Melaka dan Kelantan mencatatkan penurunan malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Perak, Melaka dan Kelantan mencatatkan penurunan malam tadi, namun di Johor bilangan itu kekal biarpun cuaca cerah di beberapa daerah semalam.

Setakat jam 8 malam semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam melaporkan jumlah mangsa banjir di Selangor terus merekodkan penurunan kepada 637 mangsa daripada 172 keluarga berbanding 886 individu membabitkan 233 keluarga pagi semalam, menurut Bernama.

Sebanyak 13 PPS masih dibuka iaitu enam di daerah Sepang, masing-masing tiga di Kuala Selangor dan Kuala Langat manakala satu di Klang.

Sementara di Perak pula, mangsa banjir di seluruh negeri menurun kepada 864 orang daripada 243 keluarga setakat 8 malam berbanding 920 orang daripada 263 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di sembilan PPS yang masih dibuka manakala sebuah PPS telah ditutup pada 3 petang semalam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Daerah Kerian.

Manakala di Melaka pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 24 mangsa daripada enam keluarga malam ini berbanding 44 orang membabitkan 10 keluarga pada 8 pagi semalam, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.

Dalam satu kenyataan, sekretariat itu memaklumkan, kesemua mangsa terjejas dari Daerah Alor Gajah itu ditempatkan di PPS di Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

Kesemua mangsa yang terjejas itu adalah dari Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Panchor.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir termenung di Rantau Panjang, Pasir Mas terus berkurangan kepada 30 orang membabitkan enam keluarga setakat 8 malam ini berbanding 401 orang daripada 115 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kilat di dua daerah iaitu Segamat dan Tangkak kekal 179 orang malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 47 keluarga itu masih ditempatkan di empat PPS yang masih beroperasi, setakat ini.

“Di Tangkak, seramai 122 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat manakala 13 orang di Sekolah Agama Simpang 5 Darat.

“Seramai 30 orang pula ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang masih berada di Dewan Komuniti Tasek, dua-dua di Segamat,” menurut JPBD.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.