Keputusan Istana dalam masa terdekat, Agong tahu BN tak sokong Muhyiddin

Keputusan Istana dalam masa terdekat, Agong tahu BN tak sokong Muhyiddin

Tiada mana-mana Ahli Parlimen BN memberikan sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata Setiausaha Agung Zambry Abd Kadir.

Tiada mana-mana Ahli Parlimen BN memberikan sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri Ke-10, kata Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir.
KUALA KUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong maklum bahawa Barisan Nasional tidak menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri, tidak lama selepas Istana Negara memaklumkan ia akan buat keputusan dalam masa terdekat.

“Tiada mana-mana Ahli Parlimen BN yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri Ke-10, dan pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Agong,” kata Setiausaha Agung Zambry Abd Kadir, mengumumkan hasil mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata baginda akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan, tidak lama selepas Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, mendedahkan BN tidak menyokong Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan.

Dalam kedudukan sekarang, PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 orang, berbanding 73 orang PN.

Ismail berkata BN akan kekal sebagai pembangkang, meskipun sebelum ini gabungan itu dan PH dilaporkan sedang dalam perbincangan.

Zambry dalam kenyataan berkata kedudukan gabungan itu “kekal seperti sekarang”, namun ia sedia berbincang dengan pihak lain apabila perlu, agar kerajaan dapat dibentuk.

“Dewan Tertinggi…mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, BN meminta semua pihak yang berkaitan agar bertenang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.