Calon menteri ditentukan parti, pelantikan dibuat secara bersama, kata Fahmi

Calon menteri ditentukan parti, pelantikan dibuat secara bersama, kata Fahmi

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin yassin bahawa kerajaan hari ini bukanlah kerajaan Pakatan Harapan di mana perdana menteri boleh melantik sesiapa yang diingini.

Fahmi Fadzil berkata, Muhyiddin Yassin mungkin lupa kerajaan hari ini bukanlah kerajaan Pakatan Harapan di mana perdana menteri boleh melantik sesiapa yang diingini.
PETALING JAYA:
Pelantikan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan dibuat melibatkan persetujuan parti atau gabungan masing-masing, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerajui sebuah kerajaan perpaduan yang memerlukan persetujuan bersama melibatkan keputusan-keputusan penting.

“Mungkin Muhyiddin lupa, tetapi ini bukanlah kerajaan Pakatan Harapan di mana perdana menteri boleh melantik sesiapa yang dia ingini.

“Dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Fahmi berkata, keputusan itu penting bagi mengelak kesilapan pelantikan Jemaah Menteri yang tidak mengikut ketetapan parti yang terlibat seperti tiga pentadbiran bekas perdana menteri terdahulu.

“Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok kartel dalam parti “dipersenjatakan” lalu mewujudkan keadaan “parti dalam parti” yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti.

“Maka berbeza dengan tiga pentadbiran sebelum ini, dan menginsafi apa yang pernah terjadi, maka perdana menteri dan ketua parti dan gabungan di dalam kerajaan perpaduan ini telah bersetuju bahawa senarai calon Jemaah Menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing,” katanya.

Fahmi pada masa yang sama turut menjelaskan komitmen perdana menteri bahawa kerajaannya tidak akan mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes.

Beliau pada masa yang sama turut mengingatkan bekas perdana menteri itu agar berhenti melakukan serangan yang boleh mengelirukan rakyat.

“Penting untuk kita ingat bahawa Tan Sri Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.