Bung Moktar, isteri gagal semak perintah mahkamah

Bung Moktar, isteri gagal semak perintah mahkamah

Pasangan itu berusaha mencabar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat.

Pihak pendakwaan membantah permohonan semakan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette, untuk menyemak keputusan mahkamah rendah yang memerintahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azhar Abdul Hamid, berkata mahkamah bersetuju dengan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan itu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How membantah permohonan semakan pasangan itu atas alasan teknikal.

Pihak pendakwaan berkata, permintaan Bung dan Zizie untuk semakan perintah Mahkamah Sesyen sepatutnya dibuat melalui surat kepada Mahkamah Tinggi, dan bukan melalui notis usul.

Bung, timbalan ketua menteri Sabah, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan semasa beliau menjadi pengerusi Felcra.

Beliau didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan bagi membolehkan Felcra membuat pelaburan dalam Public Mutual berjumlah RM150 juta pada Jun 2015.

Zizie pula menghadapi tiga pertuduhan kerana bersubahat dengan suaminya dalam perkara itu.

Pasangan itu memfailkan usul memohon semakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri.

Mereka mendakwa, hakim bicara telah tersilap undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan mereka menerima rasuah daripada dua ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam kes itu.

Prosiding bela diri akan disambung semula di Mahkamah Sesyen pada 3 Jan.

Bung dan Zizie diwakili peguam M Athimulan dan K Kumaraendran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.