Sistem selenggara pengangkutan awam sekadar ‘kelas ketiga’, akui Loke

Sistem selenggara pengangkutan awam sekadar ‘kelas ketiga’, akui Loke

Menteri pengangkutan berkata walaupun pengangkutan awam negara bertaraf kelas pertama, namun sistem penyelenggaraan masih di takuk lama kerana tidak seiring keupayaan teknologi.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, mahu semua pengangkutan awam negara membudayakan sistem penyelenggaraan demi manfaat orang awam. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook kecewa sistem penyelenggaraan sektor pengangkutan awam sekadar “kelas ketiga” walaupun negara mempunyai kemudahan kelas pertama.

Justeru, beliau mahu semua pengangkutan awam negara membudayakan sistem penyelenggaraan agar teknologi kemudahan kelas pertama yang dikecapi rakyat ketika ini tidak terkebelakang dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Beliau merujuk kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang kerap tergendala sejak kebelakangan ini ekoran sistem yang usang.

“Kita lihat masalah yang timbul bagi LRT, sektor pengangkutan awam kita. Kita ada kemudahan awam terbaik… 20 tahun lepas dari zaman Pak Lah (perdana menteri ke-5) lagi kita dah sebut kita ada infrastruktur awam bertaraf ‘1st world’ tetapi kita di negara ketiga dalam sistem penyelenggaraan, ini yang mesti kita ubah.

“Kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi kalau kita tiada budaya untuk memastikan penyelenggaraan seiring dengan keupayaan teknologi ia akan ke belakang dalam tempoh 10-20 tahun lagi,” katanya ketika berucap dalam lawatan kerja ke pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah agensi pertama di Kementerian Pengangkutan yang dilawatinya selepas dilantik sebagai menteri sejak 2 Dis lalu.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban komited untuk menggerakkan segala agenda dan dasar di kementeriannya segera tanpa menunggu masa yang lama.

“Melangkah ke depan, apa yang telah dirancang dan dibincangkan itu tidak perlu mengambil masa lama… tak perlu buang masa, kita jalan terus saja.

“Saya lebih bersemangat sewaktu tempoh saya kali pertama di Kementerian Pengangkutan sebab kita tak tahu berapa lama dalam satu kedudukan, pengalaman lalu telah mengajar saya,” katanya.

“Apa saja peluang yang datang kita mesti buat yang terbaik. kita kena pastikan kita dapat laksanakan.”

Loke kembali semula ke dalam Jemaah Menteri sebagai menteri pengangkutan, selepas kali pertama dilantik sebagai menteri penuh ketika Pakatan Harapan (PH) menang pada 2018.

Bagaimanapun, pentadbiran PH hanya bertahan 22 bulan susulan Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Dr Mahathir Mohamad itu tumbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.