
Beliau berkata, kos sebenar subsidi untuk mengekalkan tarif elektrik semasa akan mencecah RM14.91 bilion, jika ia dilaksanakan secara menyeluruh.
“Tetapi, dengan skim subsidi bersasar ini, tambahan peruntukan RM4.16 bilion yang akan digunakan untuk menanggung kos subsidi elektrik, kini boleh diperuntukkan untuk membantu rakyat melalui cara lain,” katanya dalam sidang media.
Nik Nazmi berkata, subsidi RM8.74 bilion akan diperuntukkan untuk pengguna bukan domestik dalam ketegori tarif voltan rendah (LV), iaitu perniagaan mikro, kecil dan
sederhana (PMKS) seperti restoran, kedai runcit, bakeri dan bengkel kecil.
Sementara itu, katanya, RM90 juta subsidi akan diperuntukkan kepada petani, penternak dan pekebun bagi memastikan tiada kenaikan harga makanan dan produk pertanian.
“Lebih 9 juta pengguna elektrik atau lebih 90% daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik.
“Tetapi, pengguna voltan sederhana dan tinggi daripada kalangan pemain industri, termasuk syarikat multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj 20 sen/kWj.”
Katanya, jika tanpa subsidi kerajaan, pengguna di Semenanjung akan dikenakan surcaj 27 sen/kWj dari 1 Jan hingga 30 Jun depan, sekali gus menyebabkan kenaikan kos sara hidup mereka.
“Ini bermakna kerajaan masih menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak,” katanya sambil memaklumkan surcaj untuk industri akan berkuat kuasa mulai 1 Jan depan.
Beliau turut mengakui peranan syarikat besar dan MNC dalam ekonomi Malaysia, tetapi langkah sedia ada adalah pendekatan “paling sesuai” buat masa ini.
“Ya, akan ada kesan (ke atas rantaian), tetapi ia tidak terlalu besar. Pasti akan ada impak, tetapi kami berharap ini akan memastikan syarikat berusaha menjadi lebih cekap tenaga.”