
Muhamad Abdullah, 71, dan isteri, Hasnah Zahari, 62, yang tidak mampu berjalan, diselamatkan dengan bot selepas rumah mereka dinaiki air pada 10 pagi tadi.
“Suami saya yang diserang strok (angin ahmar) sejak lima bulan lepas tidak dapat berjalan dan hanya bergerak dengan bantuan kerusi roda.
“Saya pun alami masalah sama sejak 10 tahun lalu… Saya boleh lagi berjalan perlahan-lahan tapi perlukan bantuan orang lain (dipapah),” kata Hasnah semasa diselamatkan.
Hasnah sangat lega diselamatkan kerana keadaan lebih buruk mungkin berlaku jika mereka tidak dipindahkan dengan segera ke tempat selamat.
Menurut jurucakap APM Besut, pasukan operasi enam orang itu menggunakan sebuah trak dan bot bagi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Baroh Masin setelah kawasan itu dinaiki air akibat hujan lebat sepanjang hari.
“Pasangan warga emas itu dibawa ke rumah saudara mereka dekat Pasir Akar, manakala mangsa lain dari kampung tersebut dipindahkan ke surau Rumah Awam Pasir Akar. Mangsa diangkut dengan bot dari rumah mereka ke trak yang menunggu di tepi jalan,” katanya.
Selain itu, polis dan bomba turut memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya, hujan lebat berterusan menyebabkan banyak jalan raya menghubungkan bandar Jertih ke Keruak, Hulu Besut dinaiki air, mengakibatkan penduduk terputus hubungan.