Malaysia sokong resolusi PBB mengenai Myanmar

Malaysia sokong resolusi PBB mengenai Myanmar

Resolusi itu mustahak dalam menyokong peranan utama ASEAN untuk mencari penyelesaian damai di Myanmar yang kini diperintah junta.

Kementerian Luar Negeri berkata Malaysia bekerjasama rapat dalam ASEAN dan rakan kongsi luar untuk memastikan kemajuan usaha ini demi kepentingan rakyat Myanmar. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Malaysia mengalu-alukan resolusi yang diterima pakai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai situasi di Myanmar pada Rabu, dengan menekankan bahawa resolusi itu mustahak dalam menyokong peranan utama ASEAN untuk mencari penyelesaian damai di negara yang diterajui junta itu.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan menyatakan Malaysia akan bekerjasama rapat dalam ASEAN dan rakan kongsi luar untuk memastikan kemajuan usaha ini demi kepentingan rakyat Myanmar.

“Malaysia sebelum ini menyeru UNSC untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan berdasarkan piagamnya.

“Majlis berkenaan (UNSC) juga menggalakkan masyarakat antarabangsa untuk menyokong mekanisme dan proses yang diterajui ASEAN dalam hal ini termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN,” menurut kenyataan itu.

UNSC menerima pakai resolusi pada 21 Dis 2022 yang mengecam pencabulan hak oleh tentera Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Feb 2021, Human Rights Watch dilaporkan sebagai berkata.

Diluluskan dengan 12 undian menyokong dan tiga berkecuali, resolusi itu mencerminkan junta Myanmar kian dipinggirkan ekoran jenayah kemanusiaan dan jenayah peperangan yang dilakukan pasukan keselamatan.

Resolusi itu merupakan keputusan rasmi pertama Majlis Keselamatan mengenai Myanmar sejak negara itu yang dahulunya dikenali sebagai Burma memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1948.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.