‘Hilang’ ketika banjir, PAS ego nak mohon maaf, Amanah kritik MB Terengganu

‘Hilang’ ketika banjir, PAS ego nak mohon maaf, Amanah kritik MB Terengganu

Ketua Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Ahmad dengan sinis berkata ia mungkin menjadi 'lembaran baharu' untuk PAS jika Ahmad Samsuri Mokhtar berbuat demikian.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dikritik kerana berada di luar negara ketika rakyatnya dilanda musibah banjir.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah secara sinis berkata mungkin menjadi “lembaran baharu” buat PAS sekiranya Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf susulan “kehilangannya” ketika rakyat negeri itu sengsara berdepan banjir ketika ini.

Menurut Ketua Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Ahmad, ini kerana pemimpin PAS terkenal dengan keegoannya dan tidak akan merendahkan martabat diri kepada sesiapa pun.

Jelasnya, ia terbukti apabila seorang daripada pemimpin pemudanya di Sik Shahiful Nasir menjatuhkan hukum masuk neraka terhadap pengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Dakwanya, ketika itu tiada seorang pemimpin PAS termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang memohon maaf dan ia hanya dibuat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 12 Nov. Shahiful pula hanya mengemukakan permohonan maaf dua hari selepas itu.

“Permintaan maaf tidak wujud dalam kamus PAS kerana itulah Muhyiddin dari Bersatu terpaksa minta maaf atas tindakan ahli PAS menghukum orang Islam kafir jika mengundi PH dan BN. Bukankah dahulu Muhyiddin pernah memanggil PAS parti ajaran sesat dan kenal sangat perangai ego PAS.

“Adakah Samsuri selaku menteri besar Terengganu dan orang kanan Hadi Awang sanggup minta maaf kerana bercuti di musim banjir?

“Jika sanggup meminta maaf, adakah ini akan membuka lembaran baru? Permohonan maaf juga wajar dibuat oleh pihak yang suka mengkafirkan dan menghukum masuk neraka pihak lawan tertentu?,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid yang menasihat agar Naib Presiden PAS itu memohon maaf segera terhadap rakyat Terengganu dan segera tingkatkan bantuan bencana banjir yang dilaporkan semakin memburuk.

Bahrin yang juga ketua PH Terengganu mendakwa, menjadi wakil rakyat PAS dianggap sebagai “lesen besar” untuk tidak boleh ditegur.

“Selagi PAS berlagak untuk monopoli Islam dalam isu menentukan syurga dan neraka untuk siapa, atau melabel siapa sesuka hati sebagai kafir atau tidak beriman, selagi itulah pengikut mereka akan taksub dan wala’ tanpa soal tindakan pemimpin mereka.

“Mereka telah ditarbiah untuk taat tanpa soal atau wala’ kepada pimpinan PAS seolah olah pemimpin mereka maksum.”

Carian FMT di laman media sosial Samsuri termasuk akaun rasmi Facebooknya mendapati tiada sebarang permohonan maaf dikeluarkan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.