
Bank itu berkata, pihaknya memandang serius dakwaan kebocoran data pelanggan.
“Maybank tidak berdepan pelanggaran data. Yakinlah, kami meletakkan langkah keselamatan siber yang kukuh untuk melindungi integriti dan privasi semua data kami,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, sebelum ini berkongsi satu hantaran milik pengguna Facebook dengan nama “Pendakwah Teknologi” yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro bocor.
Berdasarkan hantaran pada 7.56 malam 25 Dis lalu, sebuah laman web menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.
Maklumat yang dibocorkan didakwa membabitkan nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan pengguna.
Fahmi berkata, beliau sudah mengarahkan CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.
Katanya, kebocoran data adalah serius membabitkan jumlah maklumat yang banyak.
“Saya akan minta CSM, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data membabitkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.