Penduduk Cameron Highlands ‘tidur tak lena’ susulan tanah runtuh

Penduduk Cameron Highlands ‘tidur tak lena’ susulan tanah runtuh

ADUN Tanah Rata daripada DAP minta laporan risiko didedahkan kepada umum selepas empat kejadian banjir lumpur berlaku tahun lalu.

Banjir di Kampung Raja baru-baru ini meninggalkan lumpur tebal atas jalan raya. (Gambar Facebook Ho Chi Yang)
PETALING JAYA:
ADUN DAP, Ho Chi Yang menuntut pihak berkuasa menjelaskan kepada penduduk mengenai risiko tanah runtuh di Cameron Highlands susulan tragedi meragut 31 nyawa di Batang Kali baru-baru ini.

Beliau berkata, empat kejadian banjir lumpur dengan dua daripadanya teruk, berlaku di Cameron Highlands akibat pembersihan tanah di puncak bukit berhampiran Kampung Raja.

ADUN Tanah Rata itu berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah menjalankan siasatan di tapak yang dibersihkan beberapa bulan lalu, namun laporan penuh mengenai penilaian risiko belum didedahkan kepada umum.

“Penduduk Kampung Raja tidak dapat tidur malam berikutan banjir lumpur kerana bimbang tanah runtuh seperti di Batang Kali mungkin berlaku di sana.

“Penduduk di situ tidak pernah mengalami banjir lumpur sebelum ini.

Jalan di Kampung Raja dipenuhi lumpur. (Gambar Facebook Ho Chi Yang)

“Ini membuktikan pembersihan tanah adalah satu-satunya punca kepada banjir lumpur ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim perlu mengarahkan JMG dan jabatan lain mengeluarkan semua laporan teknikal kepada umum.

Ho berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik tanah dan membatalkan permit mereka untuk membersihkan tanah.

Katanya, dua kejadian banjir lumpur besar itu berlaku pada Julai dan Disember.

Ho berkata, kira-kira 100 rumah di kawasan Kampung Baru dan Kampung Raja di Tanah Rata terbabit dalam kejadian itu dengan 20 daripadanya terjejas teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.