Waspada tawaran lesen memandu tanpa ujian, kata JPJ

Waspada tawaran lesen memandu tanpa ujian, kata JPJ

JPJ berkata sindiket itu mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa dan kemudian melarikan diri dengan duit yang dibayar kepada mereka.

Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim bercakap dengan pemandu bas yang diperiksa dalam operasi Ambang Tahun Baharu di Plaza tol Gombak awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan di media sosial yang kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim, berkata pihaknya mengesan tawaran iklan itu yang turut menggunakan gambar profil “China doll” bagi menarik perhatian pengguna media sosial yang diuarkan-uarkan secara terbuka di platform berkenaan.

“Sindiket ini mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa dan kemudian melarikan diri dengan duit yang dibayar kepada mereka.

“Niat tawaran iklan ini adalah tidak baik kerana mengelirukan rakyat bahawa boleh dapat lesen tanpa perlu hadir ke sekolah memandu. JPJ menafikan sekeras-kerasnya perkara ini,” katanya pada sidang media operasi sepadu Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Gombak, awal pagi tadi.

Beliau berkata, JPJ akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mengesan sindiket itu melalui pautan yang dikongsikan.

“Sindiket berkenaan telah menyedari bahawa mereka dipantau pihak berkuasa maka mereka (sindiket) yang terlibat sering menukarkan pautan setiap empat hingga enam bulan.

“Kami akan berusaha mendapatkan individu yang bertanggungjawab menipu pengguna media sosial dengan taktik ini dan tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada polis dan KKD,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi sepadu itu, Zailani berkata sebanyak 3,481 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan dalam operasi bermula 9 malam hingga 12 tengah malam dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Menurutnya, JPJ mengeluarkan lebih 30% saman daripada 12,234 jumlah kenderaan diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kepada pemeriksaan lesen memandu, cukai jalan, insurans kenderaan dan kenderaan klon.

“Selain itu, kami turut menyita 69 kenderaan terdiri 56 motosikal, 12 kereta dan satu kenderaan lain di seluruh negara setakat 12 tengah malam tadi,” katanya dan menambah lebih 200 anggota pelbagai agensi penguat kuasa terlibat antaranya polis, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.