Cabar ‘top 2’? Akan difikir jika ada pertandingan, kata Hishammuddin

Cabar ‘top 2’? Akan difikir jika ada pertandingan, kata Hishammuddin

Hishammuddin Hussein tidak keberatan memikirkan menyertai pertandingan jika diadakan.

Hishammuddin Hussein berkata ‘tunggu ada pertandingan atau tidak’ ketika ditanya mengenai pemilihan Umno.
KUALA LUMPUR:
Hishammuddin Hussein tidak keberatan untuk memikirkan menyertai pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, jika Perhimpunan Agung Umno (PAU) menghendaki ia diadakan.

“Kalau ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan memikirkan untuk bertanding dalam pemilihan akan datang,” kata bekas naib presiden Umno itu kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

“Soal jawatan apa kena tunggu ada pertandingan atau tidak.”

Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, meminta ahli yang mahu bertanding lima jawatan tertinggi parti termasuk presiden dan timbalan presiden, membuat pengumuman secara terbuka menjelang pemilihan yang akan diadakan pertengahan tahun ini.

Katanya, individu yang mahu bertanding jawatan berkenaan diingatkan tidak membuat “gerakan dalam gelap” di belakang parti untuk merebut kedudukan itu.

“Saya nak cadang siapa nak tanding jawatan tertinggi ini, presiden, timbalan dan tiga naib…umum awal-awal buat apa nak sorok-sorok, kalau cakap malam-malam sahaja, belakang sahaja tak elok, siapa nak tanding umum awal, umum lagi awal lagi bagus,” katanya dalam sidang media pada PAU 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.