
Tertuduh, M Karthikesan, 44, didakwa memberikan dokumen palsu atas nama syarikat, Profit Sonata Sdn Bhd., bertarikh 4, 20 dan 26 Mei serta 21 Jun 2021 kepada seorang pegawai Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program itu berjumlah RM1,448,240.
Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang borang pengesahan itu sedangkan senarai pekerja dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja syarikat berkenaan.
Karthikesan didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso Petaling Jaya antara 22 Mei dan 25 Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, S Vijaya.