Zahid serah perwakilan tentu 2 jawatan utama dipertanding

Zahid serah perwakilan tentu 2 jawatan utama dipertanding

Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin ahli Umno boleh menilai yang mana kaca yang mana permata.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan sama ada dua jawatan utama parti akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.

“Namun, saya yakin ahli Umno boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ yang mana ‘fake’,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Terdapat gesaan yang berbeza daripada pemimpin dan perwakilan Umno berhubung perebutan dua jawatan itu.

Semalam, Khairy Jamaluddin yakin Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan presiden parti itu.

Khairy melalui Instagramnya berkata, Umno seharusnya membuka ruang jawatan presiden untuk dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dan timbalan presiden parti, Mohamad Hasan, menentang pertandingan kedua-dua jawatan itu.

Noraini berkata, penyandang kedua-dua jawatan itu perlu diberi ruang dan sokongan bagi memulih dan memperkasakan semula parti, manakala Mohamad pula berkata ia dapat mengelak perpecahan lebih teruk berlaku dalam Umno.

Zahid berdepan gesaan meletakkan jawatan sebagai presiden Umno berikutan prestasi hambar parti itu dalam PRU15 lalu.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, semalam, menasihatkan ahli parti supaya mengumumkan secara terbuka jika mereka berhasrat bertanding jawatan berkenaan.

Beliau berkata, kepimpinan parti tidak berniat menghalang sesiapa daripada bertanding jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.