Rezeki dicari ‘neraka’ menanti, ibu tunggal rayu diselamatkan dari sindiket Myanmar

Rezeki dicari ‘neraka’ menanti, ibu tunggal rayu diselamatkan dari sindiket Myanmar

Radha ke Thailand kerana menyahut tawaran ejen pekerjaan, tetapi yang menantinya sekumpulan penculik bersenjata.

Tangkap layar (kiri) bangunan KK Garden yang dihuninya kini dan (kanan) papan tanda lokasi di mana Radha disyaki berada.
KUALA LUMPUR:
“Berapa lama saya kena hidup dalam neraka ini?” Begitu rintihan Radha (bukan nama sebenar) yang ditahan dan dikurung oleh sindiket penipuan pekerjaan antarabangsa, 1,600km dari kampung halamannya, melalui perbualan telefon.

Ibu tunggal ini sudah lama tidak temui dua anaknya, sejak November tahun lepas, apabila penculik bersenjata api melarikannya dari lapangan terbang di Thailand ke Myawaddy, sebuah pekan di Myanmar berdekatan sempadan barat negara gajah putih itu.

Dia ke Thailand kerana menyahut tawaran ejen pekerjaan, untuk menyara ibu yang tua dan dua anaknya yang masih kecil.

Siapa sangka sebaik sahaja dia menaiki kereta yang menunggu di lapangan terbang, yang menanti bukan rezeki tetapi laras senjata api.

“Mereka tipu saya. Hari-hari saya ingat anak saya,” rintih Radha.

Pasportnya dirampas. Dia dipaksa menjadi scammer menipu wang orang ramai dan akan dipukul sekiranya tidak capai sasaran.

Seorang insan yang prihatin secara rahsia membantunya mendapatkan telefon bimbit untuk Radha menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

“Saya tak tahu nak buat apa. Saya (rasa) nak mati. Mereka tak bagi saya tidur, saya kurang makan.

“Saya merayu kepada kerajaan Malaysia. Saya tak buat laporan polis sebab telefon dan pasport saya dirampas,” beritahu Radha dalam sebak.

Selain rakaman audio Radha menceritakan pengalamannya, FMT turut memperolehi rakaman video dia dan mangsa lain diseludup masuk melalui jalan tikus.

Tangkap layar jalan tikus yang digunakan untuk menyeludup masuk mangsa pemerdagangan manusia, yang dikongsi Radha.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, mendedahkan pihaknya menerima panggilan dan mesej daripada mangsa seperti Radha hampir setiap hari.

“Hari-hari saya terima panggilan daripada mangsa tapi saya tak ada kuasa,” kata aktivis ini.

Beliau berkata kemampuan NGO seperti MHO untuk membantu mangsa-mangsa ini terhad. Sudah sampai masanya kerajaan Malaysia meminta negara ketiga yang berpengaruh menekan pihak berkuasa Myanmar.

Di sebalik sekatan Barat, Myanmar mempunyai hubungan aktif dengan China, yang membekalkan senjata, pinjaman, dan pelaburan. Kedudukan Myawaddy sebagai pos perdagangan kedua terbesar di Myanmar juga menjadikan Thailand rakan dagang yang penting.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim yakin hubungan baik antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan China dan Thailand boleh membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Myanmar.

Hishamuddin percaya pihak berkuasa Myanmar akan bekerjasama jika ditekan China dan Thailand.

“Sudah sampai masa Malaysia berunding dengan China untuk bagi tekanan pada Myanmar…Jika Thailand turut beri tekanan, mereka takut ada isu dengan Thailand.”

Selain dua negara itu, India juga mempunyai hubungan aktif dengan Myanmar, dengan kedua-dua negara menjalin kerjasama keselamatan.

“Kita lihat laporan di media tiga empat bulan lepas, rakyat India yang ditahan di Myawaddy, lebih daripada 100 orang telah dibawa pulang. Bukan seorang dua (tetapi) 100 orang telah dibawa pulang ke Tamil Nadu. Adakah orang Myanmar tak berani menahan rakyat India tetapi (berani) menahan rakyat Malaysia?,”soalnya.

Antara kesan lebam di tubuh Radha akibat dipukul jika tidak mencapai sasaran.

Hishamuddin juga mencadangkan sejumlah dana disediakan untuk kedutaan Malaysia khusus bagi ‘melicinkan’ proses menyelamat dan membawa pulang rakyat negara ini.

“Rakyat kita yang berjaya menyelamatkan diri hanya sehelai sepinggang. Mereka tiada duit dan disebabkan itu mereka akan terkandas di kaunter imigresen pula kerana didenda tinggal lebih masa, padahal mereka dikurung sindiket.

“Mereka juga perlukan wang untuk beli tiket kapal terbang. Tiket kapal terbang pula yang jenis ‘open ticket’. Harganya cecah RM1,000 dan ke atas. Kedutaan kita di sana tiada duit untuk tujuan itu. Kedutaan hanya sediakan dokumen yang diperlukan untuk mangsa dibawa balik, itu saja,” jelas Hishamuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.