Belum ada keputusan pertahan jawatan naib presiden, kata Ismail

Belum ada keputusan pertahan jawatan naib presiden, kata Ismail

Naib presiden Umno itu berkata, beliau akan berbincang dengan Umno Bera sebelum memutuskan pertahankan jawatan itu atau tidak.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan beliau akan mempertahankan ketua Umno Bera. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan naib presiden Umno atau tidak dalam pemilihan parti akan datang.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Ismail mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan ketua Umno Bera.

“Masih terlalu awal untuk menentukan perkara itu. Saya perlu berbincang dengan orang Bera dulu (untuk pertahan jawatan naib presiden).

“Yang pasti, saya akan mempertahankan jawatan ketua Umno Bera dalam kawasan Parlimen Bera ini,” katanya.

Menurutnya, beliau akan mempertahankan jawatan di bahagian Bera kerana sebagai Ahli Parlimen, beliau perlu ada dalam bahagian.

“Kita akan teruskan dengan Bera dulu, yang lain tunggu dululah. Kita akan bincang. Tunggulah pengumuman saya nanti,” tambahnya lagi.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara.

Ini bermakna jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan, pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.

PAU juga memutuskan hanya jawatan naib presiden dan ke bawah sahaja yang akan dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.