
Suhana ketika dihubungi berkata, dia dipanggil memberikan keterangan selepas Pemuda Umno Muar membuat laporan polis kerana menyifatkan hantaran Twitter berkenaan adalah fitnah.
“Saya akan hadir ke IPD Putrajaya pada 26 Jan ini bersama peguam saya bagi memberikan keterangan.
“Pegawai penyiasat dari IPD Muar akan hadir ke sana,” katanya.
Pada 16 Okt tahun lalu, Suhana mendakwa Pemuda Umno Muar terlibat dalam kekecohan yang berlaku ketika ceramah Muda di Parit Jawa, Muar.
Beliau membuat kenyataan itu di akaun Twitter miliknya.
Sehari selepas itu, Ketua Pemuda Umno Muar, Mohd Helmy Abd Latif membuat laporan polis terhadap Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pemimpin parti berkenaan yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap sayap parti itu.
Laporan polis itu dibuat berikutan Syed Saddiq dan beberapa pemimpin Muda mendakwa Pemuda Umno terlibat membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar anjuran parti berkenaan di Parit Jawa.