Johor dilanda banjir, 422 mangsa dipindah ke 8 PPS

Johor dilanda banjir, 422 mangsa dipindah ke 8 PPS

Empat sungai di Johor iaitu Sungai Muar, Sungai Lenik, Sungai Segamat dan Sungai Kahang turut merekodkan bacaan melebihi paras bahaya.

Sebuah kedai makan di Kluang mula dinaiki air selepas beberapa kawasan di daerah itu dilanda banjir. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Hujan lebat sejak semalam menyaksikan seramai 422 mangsa dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di Johor, setakat 2 petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya memaklumkan lapan PPS di daerah Kluang, Kota Tinggi dan Segamat itu, dibuka secara berperingkat mulai 11 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Anggota bomba membantu penduduk untuk dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka mula dinaiki air. (Gambar bomba Johor)

“Sebanyak 105 keluarga ditempatkan di lima PPS di Segamat, sembilan keluarga di dua PPS di Kluang dan enam keluarga di sebuah PPS di Kota Tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat pada tahap bahaya dijangka berterusan membabitkan daerah Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

Rumah penduduk di Kampung Palembang, Kluang dinaiki air. (Gambar Facebook)

Menurut MetMalaysia hujan lebat berterusan pada tahap buruk pula dijangka melibatkan daerah Pontian, Segamat dan Batu Pahat, manakala Tangkak dan Muar pula pada tahap waspada.

Selain itu, empat sungai di Johor melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.03 meter (m), Sungai Lenik (Ladang Chaah) di paras 6.18m, Sungai Segamat (Sungai Segamat Kecil) di paras 38.11m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) di paras 14m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.