
Dilancar pada November, ChatGPT direka bentuk menyerupai perbualan seperti manusia. Namun, ketepatan dan maklum balas menyeluruh membuatkan ia seakan-akan penulisan hasil tangan manusia.
Bulan lalu, profesor di Wharton School University of Pennsylvania mendapati ChatGPT berkemampuan memperoleh markah antara B- dan B bagi program Master Pengurusan Perniagaan (MBA).
Walaupun sukar menemui sebarang maklumat berhubung penggunaan program AI itu di Malaysia, sekolah awam di New York, baru-baru ini, menyekat akses ChatGPT dalam peranti sekolah dan jaringannya susulan “impak negatif terhadap pembelajaran pelajar dan kebimbangan keselamatan dan ketepatan kandungan”.
Semalam, pembuat program mengeluarkan aplikasi yang direka bentuk untuk mengenal pasti sama ada penulisan itu dihasilkan AI.
Pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Zaharom Nain, berkata walaupun seseorang tidak sepatutnya “terpesona, dibutakan atau terpedaya” dengan program seperti ChatGPT, sangat penting untuk tidak memandang remeh program seumpama itu.
Katanya, sejarah menunjukkan penggunaan dan salah guna teknologi bergantung sejauh mana masyarakat distruktur serta berfungsi sambil mengambil maklum teknologi itu menjadi “pemacu” untuk digunakan bagi tujuan baik mengambil kira integriti dan kejujuran.
“Persoalan berbangkit adakah masyarakat dan institusi seperti itu benar-benar wujud dalam era neoliberalisme?” katanya. “Lebih terperinci, adakah institusi di Malaysia dalam pendidikan tingginya mementingkan budi pekerti, kejujuran dan integriti?
“Jika tidak – mengambil kira aktiviti plagiat, penipuan buli dan pemalsuan, dilihat lambat laun teknologi seperti ChatGPT hanya senjata untuk bermain dalam penipuan semata-mata.”
Dalam pada itu, Tajuddin Abdullah dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menggariskan “perdebatan hangat” mengenai penggunaan AI dalam komuniti saintifik bagi buku dan jurnal.
Selain risiko kuliah “mengundang lesu untuk berfikir” dan kurang kreatif menulis kandungan asli, beliau berkata, pelajar doktor falsafah (PhD) berkemungkinan menulis keseluruhan tesis tanpa meletakkan buah fikiran sendiri.
“Tidak akan ada penemuan pengetahuan baharu atau inovasi melangkaui had peralatan AI,” katanya. “Dan kita tidak mampu menghasilkan cendekiawan berfikir secara bebas berupaya melakukan kajian asli dan menulis idea berdasarkan kekuatan mental insan.”
Tajuddin berkata, penguasaan dalam bahasa Inggeris “menjunam” kerana pelajar dengan penguasaan rendah mampu menghasilkan penulisan “100% sempurna” dalam bahasa itu, namun menyampaikan pembentangan menggunakan “bahasa Inggeris hancur”.