
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata sebaliknya parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu perlu menjelaskan sumber dana berjumlah RM300 juta yang didakwa diterima Bersatu ketika pandemik.
“Sekarang Bersatu kena jelaskan bagaimana wang RM300 juta boleh berada dalam akaun mereka, dalam tempoh dua tahun ketika rakyat susah, rakyat sengsara, tapi dia dapat RM300 juta dalam akaun.
“Kena jelaskan kepada awam, kalau tak jelaskan sumber itu mestilah timbul keraguan,” katanya kepada FMT.
Lee mengulas dakwaan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin bahawa tindakan pembekuan akaun itu oleh SPRM bertujuan membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional (PN).
Hamzah juga menuduh kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik selain mendakwa langkah itu bertujuan memesongkan perhatian rakyat terhadap “kelemahan, kegagalan dan amalan nepotisme” kerajaan Anwar Ibrahim.
Menangkis dakwaan itu, Lee menegaskan, kerajaan pimpinan Anwar masih mengekalkan pentadbiran SPRM yang diketuai Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya, sekali gus menolak dakwaan badan itu digunakan bagi menghukum musuh politiknya.
“Kalau nak tuduh kerajaan campur tangan, adakah kita tukar ketua pesuruhjaya SPRM? Lainlah kalau kita tukar kepada orang politik, barulah tuduhan itu berasas tetapi kita tak lakukannya.
“Jangan cuba ‘discredit’ institusi SPRM tanpa asas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berkata SPRM hanya bertindak berdasarkan laporan diterima, sambil menegaskan tindakan berkenaan bukan bersifat balas dendam terhadap parti lawan.
“SPRM beku akaun Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. Banyak laporan polis dibuat sehingga SPRM ambil tindakan.
“Kalau duit tu datang dari sumber haram, takkan SPRM nak biarkan saja,” kata Isham yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
SPRM sebelum ini berkata akaun Bersatu dibekukan lebih dua minggu lalu berkaitan siasatan dakwaan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.