Kurang bercakap, lebihkan kerja dan bawa hasil, Hamzah beritahu kerajaan

Kurang bercakap, lebihkan kerja dan bawa hasil, Hamzah beritahu kerajaan

Ketua pembangkang itu mendakwa kerajaan gagal menangani kenaikan kos sara hidup yang dilaungkan PH ketika kempen PRU15.

Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin berkata, kerajaan gagal menyelesaikan masalah rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) menggesa kerajaan “kurang bercakap dan lebihkan bekerja” untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, rakyat kini gelisah kerana satu demi satu kelemahan, ketidakcekapan serta pencabulan kuasa berlaku.

“Kurangkanlah bercakap, buat kerja dan bawa hasil kepada rakyat,” katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

“Bila kita banyak sangat bercakap, kadang kita lupa yang sebenarnya kita sedang menepuk air di dulang, percikannya terkena muka sendiri.”

Hamzah juga mendakwa kerajaan gagal menyelesaikan isu berkaitan kenaikan kos sara hidup, antara perkara utama yang dibangkitkan Pakatan Harapan ketika kempen PRU15.

Mengambil contoh kekurangan bekalan telur, setiausaha agung Bersatu itu menyelar kerajaan kerana isu itu masih gagal diselesaikan walaupun berjuta-juta telur diimport dari India.

Katanya, rakyat tidak suka telur diimport kerana ia lebih mahal dan kecil berbanding telur tempatan.

“Semasa berkempen PRU15 lalu, bukan main berdegar-degar yang amat berhormat Tambun dan beberapa menteri kerajaan hari ini bercakap, kononnya kalau mereka mengambil alih kerajaan, semua masalah selesai.

“Hakikatnya, bukan saja masalah telur tidak kunjung selesai, kini harga sayur pula melonjak 160%.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.