Menjelang Belanjawan 2023, Cuepacs minta kerajaan pertimbang naik gaji

Menjelang Belanjawan 2023, Cuepacs minta kerajaan pertimbang naik gaji

Presidennya, Adnan Mat berkata kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup dengan meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja.

Cuepacs juga menuntut kerajaan menyelesaikan masalah harga rumah bagi penjawat awam yang disifatkan “tidak masuk akal” berbanding gaji.
PETALING JAYA:
Menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbang kenaikan gaji penjawat awam untuk menangani kenaikan kos sara hidup.

Presiden Adnan Mat berkata kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup adalah dengan “meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja”.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak, terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

“Tambahan pula, sistem saraan perkhidmatan awam diguna pakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, sistem saraan baharu wajar diperkenalkan merangkumi model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat lebih baik.

“Rakyat ingin melihat satu perubahan yang benar-benar serius ke atas kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini,” tegasnya.

Tambahnya, kenaikan gaji tahunan pula perlu ditetapkan pada kadar minimum RM180 setahun demi mengimbangi kos sara hidup.

Dalam pada itu, beliau mahu kerajaan memberi fokus kepada isu pemilikan perumahan penjawat awam, yang mana pembinaan rumah mampu milik bagi kakitangan awam dihentikan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, pada 2018.

Beliau turut membangkitkan harga rumah di sekitar Putrajaya majoritinya bermula pada RM400,000, yang menurutnya “tidak masuk akal” dengan kadar gaji semasa penjawat awam.

Cuepacs turut menarik perhatian terhadap isu permohonan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) pada tahun lalu, yang sehingga kini masih ramai tidak dibayar.

“Peruntukan untuk penebusan awal GCR ini sepatutnya diberikan kepada semua penjawat awam yang memohon dan bukanlah diberi berdasarkan sejumlah peruntukan sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.