Barangan basah diteliti masuk senarai SARA

Barangan basah diteliti masuk senarai SARA

Senarai pembelian SARA dijangka akan dikemas kini sebelum Ramadan, kata Kamil Munim.

SARA BANTUAN 100
Terdapat permintaan supaya barangan keperluan lain, seperti barangan basah, turut ditambah dalam senarai pembelian SARA, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kamil Munim.
PETALING JAYA:
Barangan basah antara barangan keperluan yang sedang diteliti untuk dimasukkan ke dalam senarai pembelian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan dikemas kini selewat-lewatnya sebelum Ramadan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kamil Munim berkata, terdapat permintaan supaya barangan keperluan lain turut ditambah dalam senarai barangan yang boleh dibeli termasuk barangan basah.

“Ada pandangan yang diberikan oleh beberapa pihak, dan kementerian sedang meneliti untuk memasukkan barangan lain kerana ada permintaan untuk memasukkan barangan basah seperti ikan, ayam dan sebagainya,” katanya selepas menyertai aktiviti gotong-royong Jelajah Kasih Madani di Bukit Selambau, Sungai Petani, lapor Bernama.

“Kita jangkakan sebelum Ramadan ini ia dapat dilaksanakan supaya menjelang Aidilfitri, atau perayaan-perayaan lain selepas ini, dapat memberi kelegaan kepada masyarakat (untuk membeli barangan),” katanya.

Mengulas lanjut, Kamil berkata, kerajaan akan melihat mekanisme terbaik untuk memperluas skop SARA bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, lebih banyak kedai-kedai kecil khususnya di kawasan luar bandar juga akan diberi ruang supaya penerima bantuan SARA dapat membeli barangan di kedai berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, bilangan penerima bantuan SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan berubah saban tahun.

“Peruntukan keseluruhan berjumlah RM15 bilion, bulan ini kita buat semakan semula dan keluarkan senarai baharu bagi penerima SARA dan STR,” katanya.

“Setiap tahun berbeza, ada yang keluar daripada kategori miskin dan ada yang baru masuk sebab itu pemberian SARA agak terlewat sedikit tahun ini, supaya yang layak menerimanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.