
Anwar, 75, memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.
Peguam SN Nair yang mewakili Anwar ketika dihubungi Bernama berkata, saman itu difailkan pada 12.06 tengah hari tadi.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa defendan membuat beberapa kenyataan merujuk kepadanya di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen di sini, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 pada 21 Feb lepas.
Beliau berkata, kenyataan tersebut diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan kepada pemberita, yang terakam dalam bentuk audio dan video.
“Pada 21 Feb 2023, kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama “@asriasri64chanel”.
“Video yang diterbitkan dalam akaun TikTok itu mendapat tontonan melebihi 21,700 kali, 348 komen, melebihi 180 ‘like’, melebihi 22 ’favourite’, dan 55 kali perkongsian setakat tarikh pemfailan tindakan ini,” menurut Anwar dalam pernyataan tuntutan itu.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pada hari sama (21 Feb), portal Malaysiakini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut menerusi dua artikel bertajuk “MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir”, manakala dalam versi Bahasa Inggeris bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM”.
Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.
Beliau mendakwa Awang sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua kerajaan perpaduan sah dan komited membasmi segala bentuk rasuah.
“Kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasi saya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa. Penerbitan dan penerbitan semula kenyataan memfitnah itu adalah objektif defendan bagi mendapatkan publisiti murah untuk kepentingan peribadi dan politiknya,” kata Anwar.
Beliau antaranya menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan, selain perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.