
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan pembatalan penerbangan atau penjadualan semula tidak berlaku.
Beliau berkata, ketika ini syarikat penerbangan yang membatalkan atau menangguhkan penerbangan atas faktor bawah kawalan mereka, seperti isu teknikal atau kapasiti penumpang tidak memuaskan, mesti menawarkan bayaran ganti kepada penumpang dalam tempoh 30 hari atau penerbangan alternatif seperti digariskan dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) berkuat kuasa pada 2016.
“Sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC, Mavcom boleh mengenakan penalti kewangan sebanyak amaun tidak melebihi RM200,000, dan ketidakpatuhan kedua atau berikutnya, amaun sepuluh kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama,” katanya.
Loke berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Parlimen oleh Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung langkah diambil untuk memastikan penjadualan semula penerbangan dapat dielakkan.
Loke berkata, sejak 2018 hingga Januari tahun ini, Mavcom mengenakan penalti berjumlah RM4.72 juta terhadap syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC.
Katanya, Mavcom kini dalam proses penambahbaikan kod perlindungan pengguna tersebut, berdasarkan maklum balas pengguna dan pengajaran penting semasa wabak Covid-19.
“Penambahbaikan itu termasuk peningkatan perlindungan pengguna dalam kes yang tidak pernah berlaku sebelum tempoh wabak.
“Mavcom menganggarkan proses penambahbaikan tersebut akan selesai pada suku kedua 2023,” katanya.
Oktober lalu Mavcom mencadangkan pindaan MACPC untuk lebih menjaga kepentingan pengguna pengangkutan udara.
Pindaan dicadangkan termasuk bayaran balik, ganti rugi untuk penumpang dan penerbangan yang dibatalkan dibuang daripada daripada sistem tempahan.