Pelakon tumbuk isteri didakwa Isnin

Pelakon tumbuk isteri didakwa Isnin

Pelakon berusia 29 tahun itu akan dituduh selepas kertas siasatan lengkap dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selasa lalu.

Isteri pelakon itu membuat laporan di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.
PETALING JAYA:
Seorang pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sungai Buloh akan dituduh di mahkamah, Isnin ini.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pelakon berusia 29 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Katanya, kertas siasatan lengkap dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selasa lalu.

“Polis menerima maklum balas dan arahan timbalan pendakwa raya untuk menuduh lelaki terbabit di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada Isnin (13 Mac),” katanya menurut Sinar Harian.

Isnin lalu, polis mendapat perintah mahkamah bertujuan menghalang pelakon terbabit melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan.

Pada 5 Mac lalu, polis menahan pelakon itu ketika hadir di IPK Selangor. Bagaimanapun, dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan pada hari sama.

Sebelum itu, isteri kepada pelakon terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Difahamkan, kejadian berlaku dalam kereta ketika mangsa bersama suaminya berhenti di kawasan R&R Sungai Buloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.