Mangsa banjir 4 negeri berkurang kepada 41,154 orang

Mangsa banjir 4 negeri berkurang kepada 41,154 orang

Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 39,256 mangsa daripada 10,966 keluarga.

Jumlah mangsa banjir ketika ini adalah 41,154 orang berbanding 41,994 orang malam tadi. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di empat negeri terus menunjukkan penurunan kepada 41,154 orang setakat pagi tadi berbanding 41,994 orang semalam.

Di Johor, jumlah mangsa banjir menurun kepada 40,847 orang setakat 8 pagi tadi, berbanding 41,661 orang direkodkan 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 11,496 keluarga masih ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 39,256 mangsa daripada 10,966 keluarga, diikuti Muar dengan 781 orang (226 keluarga), Tangkak 576 orang (241 keluarga), dan Segamat 234 orang (63 keluarga).

Empat sungai di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok dengan bacaan 19.47m, Sungai Senggarang di Senggarang (3.63m), Sungai Simpang Kiri di Sri Medan (2.40m), dan Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong (2.05m), serta Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar), 3.57m.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 61 orang daripada 14 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 87 orang daripada 20 keluarga semalam, susulan empat PPS ditutup secara berperingkat sejak semalam.

Sekretariat JPBN memaklumkan semua mangsa tersebut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu.

Di Pahang, sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi tadi kekal 155 orang daripada 54 keluarga ditempatkan di dua PPS di Rompin.

Sementara itu, di Sarawak, jumlah mangsa banjir masih kekal 91 orang daripada 18 keluarga melibatkan kawasan Kuching yang ditempatkan di PPS Dewan Sinaran Lumut dan PPS Dewan Kampung Sungai Bedaun setakat 7 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.