Wakil rakyat boleh terima beberapa pencen, kata menteri

Wakil rakyat boleh terima beberapa pencen, kata menteri

Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas Armizan Ali berkata ia bergantung kepada perkhidmatannya bawah akta atau ordinan/enakmen yang berlainan.

Bagaimanapun, ahli Dewan Rakyat yang dilantik menjadi Speaker hanya akan menerima satu pencen sahaja, kata Armizan Ali.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat boleh menerima beberapa pencen bergantung kepada perkhidmatannya di bawah akta atau ordinan/enakmen yang berlainan.

Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Armizan Ali, menjelaskan seorang Adun boleh menerima pencen di bawah ordinan/enakmen negeri, pada masa sama beliau boleh menerima pencen sebagai Ahli Parlimen sekiranya memenuhi kelayakan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

“Bagaimanapun, ahli Dewan Rakyat yang dilantik menjadi Speaker hanya akan menerima satu pencen sahaja di mana elaun yang diterima sebagai Speaker akan digunakan untuk tujuan pengiraan pencen,” katanya menerusi jawapan dimuatnaik di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang mahu tahu adakah kerajaan akan menilai semua pertindihan wang persaraan penjawat awam terutama ahli politik yang menerima pencen berlipat ganda apabila memegang beberapa jawatan seperti Ahli Dewan Rakyat, Adun dan Speaker dalam usaha mengurangkan perbelanjaan.

Menerusi sesawang Parlimen, seorang Ahli Parlimen menerima elaun bulanan sebanyak RM16,000.

Jika dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat, atau Timbalan Speaker Dewan Rakyat, masing-masing menerima tambahan gaji bulanan sebanyak RM31,000 dan RM22,000 selain elaun sebagai ahli Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.