Mangsa banjir Batu Pahat tinggal 6,740 orang

Mangsa banjir Batu Pahat tinggal 6,740 orang

Situasi banjir di daerah itu makin baik apabila jumlah mangsa terus menurun berbanding malam tadi.

Seramai 6,740 orang masih ditempatkan di 43 PPS di Batu Pahat, berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan 8 malam tadi. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Situasi banjir di Batu Pahat menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun, setakat 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 6,740 orang masih ditempatkan di 43 PPS, berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Menurut JPBN, tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Li Chun (522 orang), diikuti SJKC Chong Hwa Kangkar Senangar (402 orang) dan Sekolah Kebangsaan Seri Medan (399 orang).

Cuaca diramalkan cerah di semua 10 daerah pada pagi ini.

Sebanyak tiga sungai masih berada pada tahap amaran iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok (19.09 meter), Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (11.07 meter) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.23 meter).

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang meninjau operasi pengepaman air di daerah itu baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri sedang menggiatkan usaha menangani “banjir termenung” dan berharap ia dapat diselesaikan, sebelum tibanya Ramadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.