Tidak ada keperluan kenakan Akta Hasutan terhadap Dr M, kata menteri

Tidak ada keperluan kenakan Akta Hasutan terhadap Dr M, kata menteri

Sesiapa pun boleh beri pandangan tapi jangan melampaui batas, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution tidak nampak ada keperluan mengenakan Akta Hasutan terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak nampak keperluan mengenakan Akta Hasutan terhadap Dr Mahathir Mohamad, yang baru-baru ini didakwa cuba menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.

“Pada saya tak nampak apa-apa keperluan,” katanya lapor Bernama. “Paling penting sesiapa pun boleh bagi pandangan, tapi jangan melampaui batas yang menyentuh perkara terkait dengan agama, kaum, dan institusi raja.”

Sebelum ini, Mahathir dilaporkan mendakwa Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dianjurkan disebabkan ‘campur tangan kerajaan’. Bekas perdana menteri itu bagaimanapun tidak memperincikan dakwaannya atau menunjukkan bukti campur tangan.

Bekas menteri undang-undang Nazri Aziz mendakwa apa yang dilakukan Mahathir cubaan menghasut rakyat dan menggesa kerajaan mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan, menurut laporan Astro Awani.

Nazri, yang pernah menganggotai Jemaah Menteri Mahathir, berkata tidak membenarkan perhimpunan diadakan bukan perkara baharu dan pernah berlaku ketika Mahathir memerintah.

Terdahulu, Saifuddin menghadiri Townhall Ikon Madani anjuran Yayasan Prihatin Nasional yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar dari Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pertahanan Awam Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.