Sindiket pecah kondominium, pangsapuri 3 negeri tumpas

Sindiket pecah kondominium, pangsapuri 3 negeri tumpas

Polis berkata sindiket itu dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah pecah rumah di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

Polis berkata penahanan suspek terbabit susulan pecah rumah dilakukan di kondominium Klebang, Melaka, 2 Mac lalu, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas dianggarkan RM50,000.
MELAKA:
Sindiket pecah rumah yang menyasarkan kondominium dan pangsapuri di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita secara berasingan di luar Melaka pada 14 dan 22 Mac lalu.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata dua lelaki daripada semua suspek berusia 34 hingga 51 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 14 Mac manakala masing-masing seorang suspek wanita dan lelaki ditahan di Selangor pada 22 Mac.

Beliau berkata, penahanan semua suspek berkenaan susulan jenayah pecah rumah dilakukan sindiket itu di sebuah kondominium Klebang, di sini, pada 2 Mac lalu, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Susulan kejadian pecah kondominium itu, anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka menjalankan siasatan dan risikan sehingga berjaya menjejaki penjenayah terlibat.

“Hasil tangkapan, polis berjaya merampas pelbagai barangan berjenama mewah antaranya jam tangan, beg tangan, beg duit, telefon bimbit, dua kenderaan, peralatan pecah rumah serta pakaian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah pecah rumah di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, semua suspek ditahan reman hingga 27 dan 29 Mac ini bagi membantu siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.