
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memutuskan untuk tidak meneruskan skim bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau JKMPay.
Menterinya, Nancy Shukri berkata, semua penerima bantuan terbabit dalam projek rintis itu akan menerima bayaran yang disalurkan sepenuhnya melalui akaun bank mereka mulai bulan ini.
“Selepas tujuh bulan pelaksanaan program rintis JKMPay ini, Kajian Keberkesanan Projek Rintis Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai @JKMPay dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menilai semula pelaksanaan projek ini.
“Melalui dapatan kajian tersebut, KPWKM memutuskan untuk tidak meneruskan program rintis JKMPay pada masa ini,” katanya menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) di Dewan Rakyat, sama ada KPWKM bercadang meneruskan JKMPay kerana ia dilihat tidak mesra pengguna, khasnya bagi penduduk luar bandar.
Nancy berkata, pelaksanaan projek rintis itu hanya membabitkan penerima bantuan kelulusan baharu JKM, bukannya penerima sedia ada.
JKMPay dilaksanakan mulai 1 Feb 2021 yang menyaksikan 50% daripada jumlah bantuan JKM disalurkan ke akaun Bank Islam penerima dan bakinya dimasukkan dalam kad tanpa tunai JKMPay.