
“Kami tiada rekod mengenai pesalah berulang dan mangsa. Mungkin (kementerian dan agensi lain) ada senarai pesalah tersebut tetapi tidak dapat dedahkan maklumat itu.
“Kami akan buat permohonan (bagi mendapatkan akses untuk mewujudkan rekod sendiri) untuk lebih banyak bantu golongan wanita,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan kakitangan kementeriannya hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata, seorang lelaki yang ditahan kerana didakwa memukul isterinya sehingga keguguran dipercayai sengaja mengahwini penjawat awam disebabkan pekerjaan dan pendapatan mereka yang stabil.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 43 tahun itu pernah berkahwin sembilan kali, dan kesemua isteri serta bekas isterinya bekerja dalam sektor awam.
Adzli berkata, suspek diketahui mempunyai sikap panas baran dan memiliki rekod jenayah bagi kes pukul dan ugutan.
Jurang dalam prosedur, penguatkuasaan
Nancy berkata, semasa perjumpaan tersebut, kementeriannya telah meneliti kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan proses perundangan bagi memperkasakan penguatkuasaan.
Beliau berkata, terdapat 5,507 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada 2023; 7,116 kes pada 2024; dan 7,391 kes tahun lepas.
Bagaimanapun, kes yang tidak dilaporkan terus menjadi halangan utama memandangkan mangsa masih ragu-ragu untuk melaporkan penderaan kerana bimbang kehilangan sokongan kewangan dan tempat berteduh untuk anak-anak.
Nancy berkata, program yang diterajui oleh bekas mangsa telah menggalakkan lebih ramai mangsa lain untuk tampil.
“Kini, lebih ramai mangsa berani tampil setelah mendengar pengalaman mangsa yang lain,” katanya.
Beliau menggalakkan mangsa agar menghubungi talian bantuan 24 jam kementerian, Talian Kasih di 15999, bagi melaporkan penderaan.